Jumaat, 12 Jun 2009

Wakil HAMAS gesa umat Islam bersama Palestin

Wakil HAMAS gesa umat Islam bersama Palestin

SHAH ALAM: Pengerusi Persatuan Ulamak Palestin, Sheikh Marwan Abu Raz mengingatkan umat Islam di negara ini agar bersama dengan Palestin bagi membebaskan negara itu dari pendudukan Israel Yahudi selama ini.

Yahudi, ujarnya, telah berusaha bermati-matian untuk merampas Masjidil-Aqsa secara total yang mana pada hari ini, mereka sedang membina sebuah binaan seperti terowong dengan tiang besar dikenali sebagai Hayqal bagi menjayakan hasrat jahat itu.

Namun, tegas Sheikh Marwan, dengan kekuatan semangat perjuangan rakyat Palestin yang tidak akan pernah mengalah kepada kejahatan Yahudi itu, terus menerus berjuang dan menyerang balas semua tindakan musuh.

“Bangunlah wahai umat Islam Malaysia, bersamalah berjuang dengan kami rakyat Palestin, yang boleh disumbangkan dalam berbagai bentuk termasuk dana kewangan untuk kami menyiapkan kelengkapan terus berhadapan dengan mereka,” tegasnya dalam ucapan bersemangat kepada ribuan hadirin.

Sheikh Marwan yang juga seorang anggota parlimen mewakili Hamas berucap demikian di dalam majlis ceramah perdana di malam terakhir Muktamar PAS ke-55 yang diadakan di Stadium Melawati Shah Alam, dekat sini.

Turut berucap di dalam majlis rutin muktamar tahunan itu adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali.

Terdahulu, Sheikh Marwan bagi pihak rakyat Palestin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan rakyat negara ini di atas segala bantuan dan sumbangan kepada rakyat negaranya yang dicerobohi oleh Israel Zionis.

Untuk rekod, anaknya Asy-Syahid ‘Asim telah terkorban di dalam perjuangan menentang Israel dan beliau yang berjuang bersama-sama dengan Paduka AlMarhum Sheikh Ahmad Yassin sejak awal, nyaris terbunuh bila mana kediamannya telah dibom.

Selepas Sheikh Marwan selesai berucap, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mengingatkan hadirin bahawa bumi Gaza adalah tanah kelahiran Imam Syafie RahmatulLah ‘aliah yang sangat rapat dengan umat Islam di sebelah sini yang mengamalkan fekah mazhabnya.

“Walaupun kita bermuktamar di sini jauh dari Gaza namun kerana PAS perjuangkan Islam, kita mengingati semua pejuang Islam sejak zaman Nabi hinggalah ke hari ini yang bertungkus lumus berjuang,” tegas Menteri Besar Kelantan itu.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Seksyen 18, dekat ini, Sheikh Marwan menegaskan keadaan umat Islam Palestin masih baik dan tetap teguh dengan perjuangan untuk membebaskan negara mereka dari cengkaman Israel.

“Ketahuilah saudara-saudari bahawa bumi Palestin bukan hanya milik umat Islam Palestin malah milik umat Islam seluruh dunia, isu Palestin bukan hanya persoalan kami sahaja malah merangkumi umat Islam sejagat.

“Dengan sebab Negara Palestin adalah tempat kelahiran ramai nabi-nabi yang dikenali sebagai bumi Ambiyak, isu ini mesti mendapat kerjasama meluas dari seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada,” tegasnya lagi yang ucapannya diterjemahkan oleh Ustaz Redzwan Abu Bakar dari Kedah .

Tambahnya, hanya dengan kembali berpegang teguh kepada ajaran dan melaksanakan tuntutan Al-Quran yang jelas paling mampu berhadapan dengan musuh; itulah yang dilakukan di Palestin sehingga hari ini sehinggakan Israel dan Zionis sedunia tidak mampu menewaskan Hamas dan semangat rakyat Palestin amnya. IBH

Tiada ulasan: