Khamis, 21 Januari 2010

Kalimatin Sawa'in

Kali ini saya mahu bercerita tentang filem Ayat- Ayat Cinta.

Saya yakin kebanyakan dari kita pernah menyaksikan filem yang berlatar belakangkan bumi Kinanah ini. Hatta anak kecil sekalipun kenal siapa Fahri, Aisha dan Maria.

Ada satu babak dalam filem ini menarik perhatian saya: tatkala Maria membacakan Surah Maryam kepada Fahri, seorang pelajar al- Azhar asy- Syariff.

Di dalam Islam, Maryam puteri Imran, adalah seorang ahli ibadah yang taat, beliau adalah perawan suci nan abadi, lahir dari keluarga yang mulia, keturunan para Nabi. Hidupnya dihabiskan dalam mihrab di timur Masjidil Aqsa untuk beribadah kepada Allah. Allah memberi apresiasi yang tinggi atas kealiman dan ketaatannya. Dia menjadikan Maryam a.s. 'tanda' kepada segenap manusia dengan kelahiran Isa a.s., seorang rasul yang diajarkan Taurat dan Injil.

Kekuatan imannya setara dengan iman Asiyah isteri firaun. Allah mengangkat darjat Maryam sebagai wanita kedua terhormat dalam sejarah manusia.

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِلَّذِينَ آمَنُوا امْرَأَتَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ. وَمَرْيَمَ ابْنَتَ عِمْرَانَ الَّتِي أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهِ مِنْ رُوحِنَا وَصَدَّقَتْ بِكَلِمَاتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِ وَكَانَتْ مِنَ الْقَانِتِينَ
Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: Perihal isteri Firaun, ketika dia berkata: Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim; Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) dia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya dan dia menjadi dari orang-orang yang tetap taat. (Surah At- Tahrim 66: 11& 12)

Sebagaimana Islam memuliakan wanita ini, begitu juga Nasrani telah memuliakan Maryam a.s. Maryam disebut dengan nama Virgin Mary. Yahudi Bani Israel pula telah mencela Maryam dengan menuduh beliau berzina dengan Joseph Pandera.

Tetapi, Nasrani telah melampau dalam memuliakan Maryam. Mereka telah mengangkat Maryam sebagai salah satu Tuhan mereka dalam konsep Trinity.

Titik Persamaan



Pada pengakhiran filem, Maryam bermimpi Virgin Mary datang kepadanya dan menyuruh Maria masuk Islam untuk masuk kedalam syurga. Dalam edisi novel pula diceritakan Maryam terhalang dari memasuki pintu syurga kerana tiada wudhu' dan lafaz syahadah.

Tetapi mengapa Maria mimpikan Maryam a.s. dan bukannya Virgin Mary dalam bentuk pemahaman teologi?

Hakikatnya, Muslim dan Nasrani berkongsi susuk tubuh yang sama untuk dimuliakan dan diambil ibrah darinya tetapi dengan pemahaman teologi yang berbeza.

Apa yang jelasnya, Maria mudah mendapat cahaya Islam kerana titik persamaan yang mana Islam dan Nasrani percaya: Maryam atau Virgin Mary adalah wanita suci di sisi Tuhan.

Secara logiknya, mestilah Maria bermimpi berjumpa Virgin Mary dalam fahaman teologi Nasrani kerana dia ialah seorang Kristian Koptik.

Perkara sebaliknya berlaku. Ia adalah kerana Maria banyak bercampur dengan Muslim, hidup dalam suasana al- Azhar, tertarik kepada akhlak Islamiyyah melalui Fahri dan sebagainya.

Begitu juga dalam hal isu kalimah Allah, Rasulullah mewajarkan Nasrani pada zamannya menggunakan kalimah Allah hatta dalam sumpah wasiat sekalipun.

Ini kerana kita dan mereka berkongsi kalimah yang sama untuk memudahkan mereka menerima Islam. Ini ditegaskan dalam Surah Ali Imran ayat 64:

.....قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), marilah (berpegang) dengan suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu…”

Itulah dia, kalimatin sawa'in yang disebutkan dalam Al- Quran.

Pada kemuncak kegemilangan Kerajaan Turki Uthmaniyyah, Islam berkembang dengan pesat di Balkan dan kawasan sekitarnya. ia berikutan kelemahan sistem dan penyelewengan yang berlaku dalam Gereja Greeks Orthodoks.

Gereja tidak mampu lagi memainkan peranan. Islam hadir dan menawarkan prinsip keadilan kepada semua manusia. Ramai masuk Islam. Saya beranggapan kerana tentulah ulama- ulama pada zaman itu bersikap terbuka kepada bukan Muslim.

Tempoh masa Kerajaan Turki Uthmaniyyah dan Kerajaan Abbasiyyah bukanlah jauh sangat. Sedia maklum, zaman itu adalah zaman lahirnya ramai ulama' besar termasuk ulama' empat mazhab. Para ulama' terbilang zaman itu tidak pula melarang Nasrani menyebut Allah.

Walhasilnya, Islam tersebar luas ke seluruh dunia.

Islamisasi sedang berlaku. Kerugian dan penyesalan kepada mereka yang menghalang dan tidak mahu turut serta.

Tiada ulasan: