Selasa, 2 Mac 2010

Hentikan Pembodohan!

Mengenalinya, setiap kali persoalan agama diajukan, lancar sahaja dalil dari Al- Quran dan Sunnah dikeluarkan beserta penjelasan. Saya menulis kali ini, bukan semata- semata Ustaz Fathul Bari adalah sheikh yang saya perolehi banyak manfaat darinya. Malah lebih dari itu.
     Anak bekas mufti dituduh mengajar tanpa tauliah

Anak bekas mufti Perlis Fathul Bahri Mat Jahaya dituduh mengajar agama tanpa tauliah selepas ditahan ketika berceramah di sebuah sebuah pusat pengajian agama di Kuala Pilah semalam.


    Fathul Bahri, 30, yang dituduh bawah Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah 2003 Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah dan dan mohon dibicarakan.

    Mahkamah Rendah Syariah memutuskan, kes tersebut akan dibicarakan pada 5 April depan.

    Ketika dihubungi Malaysiakini selepas prosiding tersebut pagi tadi, Fathul Bahri mengesahkan tangkapan dan pendakwaan terhadapnya itu.

    “Saya sekarang ini dalam proses mendapatkan khidmat peguam bagi menangani kes ini,” katanya yang kini berkhidmat sebagai penasihat agama di sebuah pusat perubatan terkenal di ibu negara.

    Menceritakan pengalannya ditangkap pada kira-kira 11.30 malam tadi, Fathul Bahri berkata, beliau ketika itu sedang menyampaikan ceramah - berhubung topik Maulidur Rasul, akidah dan perpaduan umah - di Maahad Ittiba Sunnah, berhampiran dengan Jalan Seremban-Kuala Pilah.

    Katanya, selepas sejam mengajar, sekumpulan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan anggota polis - sekurang-kuranya 30 orang - hadir dan menghentikan program tersebut.

    Gagal pohon tauliah di Selangor

    Suasana menjadi kecoh seketika apabila sebahagian pelajarnya yang tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, tambahnya.

    Selain Fathul Bahri, JHEAINS turut dilaporkan menahan tiga lagi lelaki yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun atas tuduhan bersubahat.

    Dalam tangkapan semalam, Fathul Bahri dan kesemua mereka dilaporkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah untuk soal siasat.

    Jika disabitkan bersalah, Fathul Bahri dan tiga lelaki tersebut boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.

    Pada 12 November tahun lalu, isu kegagalan permohonan tauliah Fathul Bahri dan enam lagi sarjana Islam terkemuka di Selangor pernah ditimbulkan dalam seidang DUN di negeri itu oleh wakil rakyat Hulu Kelang Saari Sungib.

    Perkara tersebut dikaitkan banyak pihak dengan pendekatan 'Wahabi' yang didakwa digunapakai golongan tersebut. Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagaimanapun dilaporkan menafikan tanggapan tersebut.

    Fathul Bari berkelulusan sarjana muda dalam bidang pengajian hadis di Universiti Madinah dan sarjana daripada Universiti Yarmouk, Jordan.

    Beliau kini sedang mengikuti peringkat doktor falsafah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Kuala Lumpur.- Malaysiakini

Pak Ulil Abshar pernah menyebut: Semua sekte dan mazhab Islam bisa berkembang di negeri liberal seperti Amerika Syarikat, hal yang tak terjadi di negeri- negeri Muslim sendiri.

Setiap Muslim berhak untuk tahu dan faham, malah setiap manusia pun begitu fitrahnya. Tetapi, bila hal sebegini berlaku, ia seakan mahu menyekat proses percambahan keintelektualan masyarakat.

Ada pihak yang mahu memonopoli tasiran agama.

Kata Saidina Ali k.w.: “Dengar apa yang dikata, bukan lihat siapa yang berkata”.

Ada sebab. Mereka takut. Takut pekung yang masam selama ini mereka peram akan bertebaran baunya.

Maka, di manakah mahu dicampakkan ayat- ayat cinta, "Sampaikanlah dariku walau satu ayat?"

Seharusnya, agama itu dibiarkan secara bebas untuk dikaji. Apakah agama hanya milik pelajar jurusan agama di universiti atau pak- pak ustaz sahaja? Islam bukan seperti Kristian yang mana agama adalah milik paderi mereka sahaja. Wah, maka kalau begitu susahlah agama ini.

Sedangkan Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Permudahkanlah semua urusan dan jangan menyusahkannya, berilah khabar gembira dan janganlah membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain lari.”(HR Bukhari dan Muslim)

Ia adalah mutiara hikmah untuk Muadz saat beliau diminta berdakwah di luar Madinah.

Tapi zaman ini sudah terbalik.

Burung punai kena kail, ikan sepat kena getah pemikat.

Hujan ke langit, air deras ke hulu.

Dengan melihat autoritatif hujah, kita harus menyediakan ruang untuk berbeza pendapat secara aman. Islam Liberal yang disokong di Indonesia, bukan calang- calang golongan yang menggerakkannya. Tetapi golongan graduan muda yang bukan cetek latar belakang pengajiannya. Itu tidak bermaksud bahawa pandangan mereka tidak perlu disaring. Prinsip saring ini terpakai kepada semua pihak atas faktor autoritatif hujah.

Pokoknya, ruang balas dalam berhujah perlu disediakan supaya dapat masyarakat menilai.


Doktrin Hantu Wahabi


Dalam kes ini, pembodohan itu diberi nama baru, Wahabi. Masyarakat dipaksakan untuk takut kepada hantu Wahabi. Siapa yang tak mahu baca tahlil, awak Wahabi. Siapa yang tak mahu qunut, awak Wahabi. Malah lebih dahsyat lagi, siapa yang tidak mahu wala' kepada mazhab Syafie sepenuhnya maka dia Wahabi.

Tiga perempat Muslim di dunia sudah jadi Wahabi lah kalau begitu!

Untuk mengusung wacana keluar dari kotak kejumudan, saya bersetuju dengan cadangan saudara Amin Ahmad dalam artikelnya, Membebaskan Wacana:

1) Kita tidak perlukan pemusatan hukum melalui institusi mufti. Apa yang kita perlu lakukan ialah membebaskan ahli agama untuk mengeluarkan pandangan mereka untuk dijadikan rujukan masyarakat. Khilaf mesti dibenarkan secara terbuka dan tidak dianggap sebagai hal yang memecah-belahkan masyarakat.


(2) Para ilmuan muslim dan mereka yang merasakan diri mereka tahu atau mahu terlibat dalam isu-isu bersabit Islam harus dibenarkan terlibat secara aman dan pandangan balas dan berimbang untuk rujukan masyarakat mesti diberi. Saya tidak bersetuju misalnya Dr. Asri menulis surat agar Faisal Tehrani dihalang menulis untuk menyebarkan idea berbaur Syiah sama seperti saya tidak bersetuju Dr. Asri dilarang menyampaikan pandangan yang didengar berbaur Wahabi. Pokoknya ialah ruang untuk hujah balas mesti dibuka untuk masyarakat menilai.

(3) Dalam era teknologi maklumat, daya tahan dan daya saring muslim mesti dibina dengan peningkatan pemahaman ilmu melalui ruang bebas, bukan dengan menutup ruang dengan apa cara sekalipun. Kehebatan umat Islam bukan dibina dengan terus menerus menanam rasa takut dan prejudis tetapi melalui penyesuaian diri dengan realiti jamak pandangan dan pendedahan kepada daya saring yang tinggi.

Sampai bila pembodohan dan pendoktrinan harus berlaku di tanah ini? 

Tiada ulasan: