Ahad, 27 Jun 2010

Warkah Terbuka Buat Ustaz Fathul Bari dan Sahabat. :)

16 komen pembaca

Menulis dalam keadaan fikiran yang kacau, bukanlah sesuatu yang baik.

Tetapi saya harus menulis juga. Penyertaan beberapa orang ulama' ke dalam UMNO yang saya kenal amat merunsingkan fikiran saya.

Kedua- dua nama yang disebut MalaysiaKini adalah individu yang terbabit dalam mengarang surat sokongan supaya saya dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang Hadis dan Pengajian Islam di Universiti Islam Madinah kepada Kerajaan Arab Saudi.

Mereka adalah Ustaz Fathul Bari dan Ustaz Fadhlan bin Mohd Othman. Keduanya juga sedang menyiapkan PhD mereka. Secara peribadinya, saya tidaklah begitu mengenali Ustaz Fadhlan, tetapi Ustaz Fathul Bari adalah syeikh yang saya perolehi banyak manfaat darinya. Manfaat dalam mengenal manhaj Salaf.

Ustaz Fathul Bari adalah seorang yang sangat lemah lembut, tegas dalam menegakkan haq dan sangat menghormati manusia lain.

Antara pesanannya yang tidak dapat dilupakan adalah, "Kita dalam dakwah sunnah ni bukan nak paksa orang, bukan nak keras, tapi dakwah sunnah ni dakwah yang lemah lembut sebagaimana yang Nabi SAW buat, Asyraf Muiz"

Dengan ini, saya bercadang nak mengirim surat terbuka kepada ustaz- ustaz ini. Dengan harapan juga mereka membaca.


Warkah Terbuka Kepada Ustaz Fathul Bari dan Sahabatnya

Murabbi yang ana kasihi,

Penyertaan ustaz ke dalam UMNO, bukanlah suatu yang sangat mengejutkan ana kerana ana sedia maklum hubungan ustaz dengan UMNO sebelum ini.

Ana tahu ustaz, bahawa UMNO sedang mempergunakan ustaz dan geng- geng ustaz sebagai alat politik mereka. Kita boleh menutup mata bila berdepan dengan sejarah, tetapi sejarah tidak pernah menipu kita. Lihat apa yang terjadi kepada saudara Anwar Ibrahim.  Mereka sangat memerlukan undi Melayu pada saat ini kerana pilihanraya semakin hampir.

Cumanya pada kali ini, ana memilih untuk berlaku naif. Ana bukannya tidak dapat membaca tindakan politik UMNO yang saya benci, tetapi kethiqahan ana kepada Ustaz menyebabkan ana terasa ingin menasihati ustaz.

Oleh kerana parti adalah wasilah dan segala jamaah adalah wasilah , oleh sebab itulah wasilah- wasilah ini dengan realiti yang ada sentiasa berijtihad bahawa cara ustaz antara cara terbaik.
Kita tahu bahawa parti politik hanyalah sebuah wadah perjuangan dan hukum menyertai UMNO bukanlah bermaksud menjadi kafir atau murtad.

Kita bersetuju sekiranya kemasukan ke UMNO itu adalah dengan niat untuk berdakwah dan mengubah keburukan menjadi kebaikan dengan cara mendekati penyokong UMNO.

Itu adalah bidang ijtihad yang tiada siapa berhak menghukum dosa dan pahala kecuali Allah SWT.

Jujurnya memasuki pada waktu genting seperti ini membawa beberapa tanggapan yang bercampuk aduk ketika ini. Memasuki UMNO ketika UMNO sangat pro- Amerika dlm pendirian praktis dan lisan menyebabkan ustaz akan ditimpa masalah imej dikalangan rakyat. Sedangkan menerima hadiah daripada pemerintah pun dielak oleh salafussoleh agar mulut mereka tidak takut menegur kesalahan pemerintah.

Ana mengharap para ustaz yang masuk kali ini, oleh kerana mereka banyak menegur dan membasmi kejahatan walaupun bid'ah yg kecil dalam ceramah mereka sebelum ini(satu perkara yg baik), maka kalau ustaz membisu dengan kemaksiatan yg nyata dilakukan oleh UMNO, kedudukan ustaz akan terhina di sisi umat.

Syeikh yang ana kagumi,

Ana ingin mencabar ustaz menggunakan wasilah yg ada untuk membasmi kezaliman UMNO yang nyata dan pendirian politik antarabangsa pemimpin UMNO yang ke arah cara pemerintahan kafirin sekarang ini. Harap ustaz merealisasikan usul- usul perjuangan Sheikh Muhammad yang jelas menentang MUWALAT ini dalam kebanyakan kitab beliau. Kalau tidak , tinggalkan nama perjuangan sunnah ustaz kerana ustaz sedang merosakkan nama pejuang sunnah itu.

Sesungguhnya tugas Ustaz sangatlah berat apabila berada dalam UMNO. Mana Ustaz nak tangkis fitnah dari pentaksub parti pembangkang lagi, mana nak berdepan dengan najis mughallazah dalam UMNO sendiri dan sebagainya.

Ustaz Fathul Bari yang ana muliakan,

Seperkara lagi Ustaz, ana harap Ustaz berjaya melakukan ta'awun bukannya tuhdod. Ta'awun maksudnya di sini pengislahan sistem UMNO yang sekular kepada Islam. Dalam masa ustaz melakukan kerja dakwah ustaz, jangan pula melakukan tuhdod yakni membantai kerja dakwah pejuang di sebelah sini, PAS. Kalau ustaz hentam kerja dakwah ulama' PAS, ustaz tunggu ana langgar ustaz. Hehe...

Apapun ana ucapkan selamat berjaya kepada ustaz. Ana mengambil ketetapan falsafah bahawa UMNO atau PAS atau pemimpin HANYAlah asbab sementara sahaja. Bukan akidah.

Ana tidak beriman kepada jenama PAS atau pemimpin Hadi atau Nik Aziz. Jika wujud keperluan menjatuhkan sesesuatu demi Allah, demi sistemNya, Nik Aziz pun ana akan langgar. Muktamad!

Berbalik kepada Ustaz Fathul Bari dan sahabat, pertamanya, ana ucapkan selamat berjaya kepada beliau. Menanti dan meneliti bentuk jalan apakah yang boleh dilakukan Ustaz Fathul Bari dan sahabat demi Allah dan sistemNya. Kemudian, seandainya kami dapati ustaz semakin menajiskan dirinya, maka, ana akan langgar.

"Ya Allah, Tuhan kami semua. Jika Ustaz Fathul Bari dan sahabat benar keranaMu, Ya Allah, berikan kekuatan kepada beliau. Jika Ustaz Fathul dan sahabat semakin melanggarMu, atau melewatkan proses tegaknya sistemMu, maka; berikan kekuatan kepada kami atau mana- mana golongan yang Kau hadirkan untuk melanggarnya. Amin."

Ketahuilah ustaz, mungkin orang yang paling tajam mengkritik ustaz adalah orang yang paling mengasihi ustaz, berbanding orang yang memuja dan memuji di sekeliling kita. Ana hanya seorang murid ustaz, dan kekal murid sebelum dan selepas kritikan ini.

Allah tahu yang terbaik.

Adakah Kekasaran Dibenarkan dalam Berdakwah?

0 komen pembaca
"Matlamat dan tujuan demo ini memang sah goyah. Kalau betul kita nak munkar jatuh pada ma'aruf bukankah caranya dengan cara yang penuh hikmah?? Apakah kita memaki hamun mereka itu adalah kebenaran??"

Artikel saya yang lepas, Di Manakah Anak Muda pada 3 Julai? mendapat kritikan dari salah seorang sahabah dari HALUAN. Sahabah yang telah merasai nikmat dakwah dan tarbiyah sejak sekian lama.

Maka makalah ini akan menjawab persoalan tersebut, juga sebagai sokongan kepada rencana Muslim Sejati Bersifat Lemah-lembut dan Sabar tulisan akhi Saifullah di Facebook.

Apakah makna syakhsiah dalam dakwah? Berlemah lembut sepanjang masakah?


Dakwah adalah tugas asasi manusia yang diwarisi sejak kejadian manusia pertama, nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa. Ringkas kata, dakwah dan manusia adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan sama sekali. Jika dipisahkan tugas dakwah daripada manusia, nescaya hilanglah kemanusiaan manusia itu dan jadilah mereka seperti binatang.

Manusia dijadikan Allah s.w.t. sebagai khalifah di muka bumi ini, iaitu sebagai makhluk yang menerima amanah Allah s.w.t. untuk mentadbir bumi ini seperti kehendak Penciptanya (Al-Baqarah: 30). Sudah tentu orang yang menerima amanah itu merupakan makhluk yang terbaik yang pernah dijadikan Allah s.w.t., kerana yang terbaik sahaja yang mampu membimbing makhluk yang lain tanpa bantahan. Untuk mengekalkan status sebagai makhluk terbaik yang memimpin ini, maka manusia perlu mengekalkan kemanusiaannya supaya tidak bertukar menjadi kebinatangan. Manusia kebinatangan tidak akan lagi diterima kepimpinannya oleh manusia kemanusiaan, bahkan tidak akan diterima oleh makhluk-makhluk yang lain. Untuk mengekalkan status itulah (makhluk terbaik), maka manusia perlu sentiasa berdakwah dan ingat mengingati antara mereka.

Dengan menjalankan tugas dakwah, generasi Sahabat r.a. diisytiharkan sebagai umat yang terbaik (khayra ummah) yang pernah dikeluarkan di dunia untuk menjadi pemimpin dan contoh kepada sekalian manusia. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali `Imran: 110 yang bermaksud: "Kamu adalah sebaik-baik umat yang pernah dikeluarkan untuk (memimpin) manusia, (kerana kamu) menyeru kepada kebaikan dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu sendiri beriman kepada Allah…".

Dalam erti kata lain, kerana dakwahlah, iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka para Sahabat r.a. memperolehi status khayra ummah. Dengan terbentuknya generasi khayra ummah ini, Islam dapat berkembang dengan cepat untuk membawa misi rahmat untuk sekalian alam (al-Anbiya': 107), yang di dalamnya terkandung segala macam makhluk Allah s.w.t. daripada manusia dan jin sama ada Islam atau bukan Islam, binatang, tumbuh-tumbuhan, batu-batan, bahkan segala-galanya akan mengecapi rahmat jika Islam itu ditegakkan. Tanpa wujudnya generasi khayra ummah itu, tidak mungkin misi rahmat untuk sekalian alam itu akan tercapai.

Untuk membina, membentuk, menjaga dan memastikan penerusan generasi yang bersifat khayra ummah itu, Nabi s.a.w. telah bekerja keras dengan bantuan wahyu dan mukjizat, yang keseluruhan pengorbanan itu dirakamkan oleh kitab-kitab sejarah sehingga hari ini. Satu pengorbanan yang tiada tolok bandingnya, satu pengkisahan sejarah awal secara terperinci yang tiada tandingan.


Hikmah dalam Dakwah: Antara Berlembut dan Berkasar

Bagaimanakah cara dakwah yang dijalankan oleh Nabi s.a.w. dalam proses untuk mencapai misi rahmat untuk sekalian alam? Apakah setiap tutur kata, perbuatan dan tingkah lakunya sentiasa lemah lembut, kerana Allah memerintahkan Nabi s.a.w. berdakwah secara hikmah? Firman Allah s.w.t. dalam (al-Nahl: 125) bermaksud: "Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka secara yang paling baik…". Soalnya, apakah hikmah dan cara yang paling baik itu bermaksud sentiasa lemah lembut, sabar, tidak marah, memberi maaf dan tidak mengambil apa-apa tindakan?

Dalam rencana ini saya tidak akan membawa nas-nas daripada al-Quran atau hadis yang menganjurkan supaya berlemah lembut dalam perkataan dan perbuatan ketika berdakwah, kerana ianya telah banyak diperkatakan dalam buku-buku berkenaan dakwah, di dada-dada akhbar, corong radio dan kaca televisyen oleh pihak-pihak yang berkenaan. Di sini saya cuma ingin membawa satu lagi aspek berhikmah dalam berdakwah yang selalu tidak diketengahkan kepada masyarakat sehingga disangka hikmah itu tiada kena mengena langsung dengan kekerasan walaupun keadaan memerlukan.

Selepas peristiwa pencabulan perjanjian Madinah buat pertama kali oleh Yahudi Bani Qaynuqa` (dengan menelanjangkan wanita Islam berpurdah di pasar mereka sehingga berlaku pergaduhan dan pembunuhan antara seorang Yahudi dan seorang Islam), maka Rasulullah s.a.w. telah bertindak tegas ingin mengambil tindakan menghalau bani Yahudi tersebut keluar dari Madinah. Mengetahui hal itu, `Abdullah bin Ubay (yang ada perjanjian dan kontrak dengan Yahudi itu) telah mendesak Rasulullah s.a.w. membatalkan hasrat baginda menghalau mereka. `Abdullah berkata, "Wahai Muhammad, berbuat baiklah dengan orang-orang aku!". Tetapi permintaannya tidak diendahkan Rasulullah s.a.w. sehingga `Abdullah mengulang permintaannya dua kali lagi, namun Rasulullah s.a.w. masih tidak melayaninya. Lalu `Abdullah memegang dengan kuat poket baju besi baginda. Baginda berkata dengan baik, "Lepaskan aku!". `Abdullah tidak mengendahkannya sehingga air muka baginda berubah kerana kemarahan lalu menengking, "Celaka kau! Lepaskan aku! (wayhak arsilni)". Jawab `Abdullah, "Demi Allah, aku tak akan lepaskan kau sehingga kau berbuat baik dengan mereka…" Sehinggalah Rasulullah s.a.w. bertegas melepaskan diri daripada `Abdullah dan bertindak bersama para Sahabat r.a. menghalau Yahudi Bani Qaynuqa` ke hulu Syam.

Kisah ini diriwayatkan oleh hampir semua penulis sirah seperti Ibn Hisham (al-Sirah: 2/47), al-Tabari (al-Tarikh: 2/480), Ibn Sa`d (al-Tabaqat: 3/67) dan lain-lain. Lihat juga hal yang sama dalam Dr Muhd Sa`id Ramadhan al-Buti, Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah, m.s. 248, Dar al-Fikr al-Mu`asir, Beirut, 1991. Sebuah ayat al-Quran juga diturunkan untuk merakamkan sikap `Abdullah ini iaitu ayat 51 dan 52 surah al-Maidah.

Pengajaran daripada kisah ini ialah Rasulullah s.a.w. pernah menggunakan kata-kata kesat dan kasar (celaka!) apabila keadaan memerlukan. Segala yang dilakukan baginda adalah dengan izin dan wahyu Allah s.w.t. (Surah al-Najm: 3), bermakna Allah s.w.t. mengizinkan berkasar bila berhadapan dengan orang yang layak dikasari sama ada dengan perkataan atau perbuatan.

Mungkin ada yang berkata, baginda berkasar dengan `Abdullah bin Ubay yang merupakan seorang munafik, tidak sama dengan orang beriman dan Islam. Jawabnya, walaupun `Abdullah itu dikenali sebagai munafik sekarang, tetapi Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat r.a. yang setia tidak pernah mengatakan secara jelas bahawa `Abdullah dan para Sahabat lain yang sejenis dengannya sebagai munafik. Ini kerana tiada siapa pun termasuk baginda yang berhak menafikan keIslaman seseorang yang telah mengaku sebagai Islam. Apatah lagi orang seperti `Abdullah itu yang bersembahyang bersama baginda dan para Sahabat, bagaimana mungkin baginda menafikan keIslamannya atau menuduhnya secara terang-terangan sebagai munafik. Bahkan baginda melayaninya sebagaimana para Sahabat r.a. yang lain. Baginda tidak pernah menuduh sesiapa pun yang telah mengucapkan syahadah sebagai tidak Islam. Apa yang baginda lakukan sebagai langkah berawas hanyalah dengan menyebutkan sifat-sifat orang munafik dan batas-batas antara iman dan kufur.

Tentang hal ini Dr. al-Buti menulis, "… Namun begitu, Rasulullah s.a.w. melayani `Abdullah -walaupun begitu sikapnya terhadap baginda- seolah-olah dia seorang Islam, tidak melayaninya sebagai seorang musyrik, murtad atau menuduhnya sebagai Islam palsu… Itu menunjukkan -sebagaimana diijmakkan oleh ulama- bahawa orang munafik dilayan di dunia ini sebagai seorang Islam biasa walaupun kemunafikannya adalah pasti. Sebabnya, hukum-hakam Islam terdiri daripada dua bahagian: Pertama, yang praktikal di dunia dan setiap orang Islam diperintah mengamalkannya. Kedua, yang praktikal di akhirat dan terserah hukumnya kepada Allah s.w.t." (Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah, m.s: 252).

Jadi Rasulullah s.a.w. berkasar dan menengking `Abdullah bin Ubay dalam keadaan baginda berinteraksi dengan seorang Islam yang wajar diperlakukan demikian. Sekiranya `Abdullah ketika itu dianggap sebagai kafir, nescaya baginda atau Sahabat yang setia telah membunuhnya kerana kurang ajar terhadap Rasulullah s.a.w. yang merupakan seorang nabi dan ketua negara Madinah. Dari sini jelaslah bahawa berkasar dan berkeras yang kena pada tempatnya adalah juga merupakan hikmah dalam berdakwah. Bahkan, berlembut pada tempat yang wajar berkasar adalah satu pendekatan yang tidak hikmah dan tidak mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Umpamanya berlembut dengan anak yang telah berusia lebih sepuluh tahun dengan tidak menghukumnya atau memukulnya walaupun enggan bersembahyang, maka itu dikatakan tidak berhikmah dan tidak mengikut sunnah Nabi s.a.w.

Selain daripada kisah di atas, mari kita lihat nas-nas lain yang menyokong hujah saya dalam rencana ini, semoga tidak dikatakan bergantung pada satu kisah yang boleh dipertikaikan kesahihannya (walaupun sebenarnya kisah `Abdullah bin Ubay tersebut sabit, sahih dan amat masyhur di kalangan pengkaji sirah Rasulullah s.a.w., apatah lagi ada rujukan ayat al-Quran mengenainya).

Imam al-Nawawi (rahimahuLlah) mengkhususkan satu bab dalam kitabnya Riyadhu al-Salihin tentang umpatan (atau kata mengata yang tidak disukai di belakang tuannya) yang diharuskan syarak. Beliau menyenaraikan enam sebab umpatan itu menjadi harus:

Pertama: Untuk mengadukan kezaliman. Harus bagi orang yang dizalimi untuk memberitahu pihak yang boleh menolongnya daripada terus dizalimi penzalim.

Kedua: Meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran dengan mengadu kepada pihak yang berupaya mengubahnya dan menceritakan (mengumpat) perbuatan salah atau mungkar yang dilakukan.

Ketiga: Meminta fatwa tentang sesuatu hukum agama yang ada kaitan dengan pihak yang diumpat dengan syarat umpatan itu perlu dilakukan untuk memahamkan orang yang diminta fatwa. Jika boleh difahami tanpa umpatan, maka umpatan tidak harus ketika itu.

Keempat: Memberi ingatan dan nasihat kepada orang Islam lain tentang keburukan yang dilakukan oleh orang yang diumpat.

Kelima: Mengumpat orang yang terang-terangan melakukan kefasikan dan maksiat seperti peminum arak, penceroboh, pengumpul harta orang secara zalim (termasuk perasuah), pelaksana kerja-kerja batil dan seumpamanya.

Keenam: Memberi pengenalan seseorang yang mana jika tidak diumpat sedikit maka orang tidak akan mengenalinya, tetapi jika boleh dikenali dengan tidak mengumpatnya, maka mengumpat ketika itu adalah haram.

Imam al-Nawawi juga membawa beberapa hadis sebagai bukti Nabi s.a.w. juga mengumpat dan mengata di belakang jika keadaan mewajarkannya, seperti berikut:

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dengan sanadnya daripada `Aishah r.a. bahawa seorang lelaki datang meminta izin untuk keluar daripada baginda (sedangkan keadaan ketika itu tidak membolehkan sesiapa pun berpindah keluar dari Madinah), lalu baginda berkata kepada para Sahabat: "Berilah keizinan padanya! Dia itu seburuk-buruk saudara sekeluarga!"

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan daripada `Aishah r.a. bahawa Nabi s.a.w. pernah mengata di belakang dua orang lelaki Islam yang tidak berdisiplin: "Aku rasa si Polan dan si Polan itu tak tahu apa tentang peraturan agama kita."

Selain daripada dua hadis sahih di atas, Imam al-Nawawi membawakan tiga lagi nas hadis sahih tentang umpatan yang harus. Untuk maklumat lanjut, para pembaca boleh merujuk kitab Riyadhu al-Salihin yang telah diterjemahkan kepada pelbagai bahasa itu, dalam bab ` Menerangkan umpatan yang harus'.

Di sebalik nas-nas yang membenarkan seseorang menengking dan mengumpat di tempat yang ada kewajarannya, timbul persoalan bagaimana kedudukan nas-nas yang menyuruh orang Islam memelihara lidah daripada menyakiti orang Islam lain. Jawabnya, nas-nas ayat al-Quran atau hadis tersebut menyebutkan tentang adab pergaulan antara sesama orang Islam yang tulin, bukan antara seorang Islam dengan seorang 'Islam' yang kualiti imannya seperti `Abdullah bin Ubay, seorang Islam yang bencikan maksiat bukan seorang 'Islam' yang sukakan maksiat dan membela kaki maksiat, seorang Islam yang memuliakan wanita bertudung bukan seorang 'Islam' yang menghina wanita bertudung dan menyanjung wanita yang mendedah dada dan peha, seorang Islam yang mengharamkan arak dan judi, bukan seorang 'Islam' yang menggalakkannya dan membela orang yang bekerja di premis arak dan judi. Jadi amatlah salah orang yang menggunakan ayat al-Quran dan hadis yang melarang mencaci, menghina, mengumpat untuk menyelamatkan dirinya daripada dicaci, dihina dan diumpat, sedangkan dia tidak beriman dengan sebahagian besar daripada ayat al-Quran dan hadis itu.

Dengan rencana ini, saya kira sudah terjawab kekeliruan yang dibuat oleh `ustaz-ustaz' yang hanya membacakan nas-nas yang melarang berkasar dan mengumpat dalam berdakwah sedangkan di sana terdapat banyak nas-nas lain yang membenarkan, bahkan mewajibkannya seperti mengumpat orang yang memalsukan nas atau hukum Islam (dalam ilmu al-Jurh wa al-Ta`dil di kalangan ulama hadis). Dan semoga para penggerak dakwah Islam yang sebenar tidak teragak-agak lagi dengan acah dan acuh pihak yang menggunakan sebahagian hukum Islam untuk menyelamatkan diri daripada kritikan.

Namun begitu, saya tidak mengatakan bahawa perbuatan bercakap kasar dan mengumpat ini digalakkan dalam Islam. Hukum asalnya ialah haram, tetapi ia menjadi harus, bahkan kadang-kadang wajib bila keadaan mewajarkannya seperti yang diterangkan oleh ulama silam yang tiada apa-apa kepentingan atau kecenderungan kepada mana-mana pihak atau parti politik yang wujud pada hari ini.

Allah tahu yang terbaik.

Sabtu, 26 Jun 2010

Lesen judi: GMJ akan dapatkan penjelasan kerajaan

0 komen pembaca
Lesen judi: GMJ akan dapatkan penjelasan kerajaan
Nazri Abdullah         

KUALA LUMPUR, 26 Jun: Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) akan mendapatkan penjelasan kerajaan berhubung kesahihan keputusan penarikan balik kelulusan lesen judi seperti dilapor media semalam.

Setiausahanya, Suhaizan Kayat (gambar) berkata, penjelasan itu perlu ekoran keputusan pembatalan hanya dibuat oleh Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, bukannya mesyuarat Kerajaan Persekutuan atau kabinet.

"Sehubungan itu, pihak GMJ akan mendapatkan penjelasan secepat mungkin daripada pihak Kerajaan Malaysia berkenaan kesahihan maklumat yang diterima memandangkan bahawa keputusan ini hanyalah dibuat oleh mesyuarat Umno, bukannya mesyuarat Kerajaan Persekutuan.

"Pihak GMJ akan membuat mesyuarat tergempar pada hari Ahad, 27 Jun, jam 11 pagi di Kuala Lumpur untuk membincangkan tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan rasmi GMJ.

Media melaporkan, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam telah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan meluluskan lesen judi sukan.

Keputusan tersebut didakwa dibuat berdasarkan pertimbangan agama dan kesan politik.
Dalam pada itu, mesyuarat GMJ esok akan dihadiri oleh semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan politik yang telah bernaung di bawah GMJ.

Mereka dijangka berbincang mengenai kesan keputusan terbaru MT Umno itu terhadap himpunan 100 ribu rakyat membantah judi yang dijadualkan pada 3 Julai ini sempena penyerahan memorandum bantahan judi sukan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Pada 23 Jun lepas, rombongan GMJ yang diketuai pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid menyerahkan memorandum bantahan judi sukan itu kepada Perdana Menteri di Putrajaya.

Jumaat, 25 Jun 2010

Di Manakah Anak Muda pada 3 Julai ini?

4 komen pembaca


Seluruh anak muda diminta bersedia untuk turun ke jalan raya.

Tunjukan marah kepada UMNO dan barua- barua yang telah merosakan Malaysia. Kumpulkan kemarahan
dan semburkan dijalan raya 3 Julai ini.

Mari bersama sejarah. Mari bersama membuat sejarah.

Anak muda adalah pengukir sejarah bangsa.

Bila kita berdemo ini pestra demokrasi.
Ini jawapan rakyat kepada Najib Mongolia.
Jawapan kita kepada haji lebai al- Kafiz Vincent Tan.
.
Maka mahafiraun terkencing dalam seluar.

Mahathir kata kata demo bukan budaya kita. Ini ertinya demo adalah senjata yang amat berkesan untuk mentabrak UMNO.

Bila UMNO tak suka demo, ertinya demo itu baik untuk seluruh malaysia

Kalau musuh kata tak baik, ertinya baik untuk kita. kalau musuh kata baik, ertinya tak baik untuk seluruh Malaysia kah kah kah.




Nanti makcik- makcik yg tengah shopping kat jalan TAR pun akan join sama. Pakcik- pakcik dan anak- anak muda yg tengah cari jaket dekat Chowkit Road pun boleh join sama.

Apa nak malu.apa nak takut.Kita menyuarakan bantahan. Kebenaran. Menegur pemimpin. Menampar penguasa yg tidur. Menerajang punggung lahanat- lahanat pembodek pemimpin.

Apa nak takut. Pejuang mana kenal takut. Takut adalah kepada Allah. Rabbul Jalil Sang Penguasa yg menyoal di padang mahsyar nanti.

Ingat surah Al- A'raf  7: 179:

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami [ayat-ayat Allah] dan mereka mempunyai mata [tetapi] tidak dipergunakannya untuk melihat [tanda-tanda kekuasaan Allah], dan mereka mempunyai telinga [tetapi] tidak dipergunakannya untuk mendengar [ayat-ayat Allah]. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Antara jenis binatang ternak adalah babi. Teruk lagi kah kita dari babi sehingga tidak peduli langsung? 

Ayuh turun demo!

Ahad, 20 Jun 2010

Dr Asri masuk UMNO???

0 komen pembaca

1. Walaupun Dr Asri berkata begini di sini, saya berpendapat ada baiknya bahawa Dr Asri terus bergerak bebas sebagai ahli akademik non- partisan. Dengan ini beliau bebas memberikan pandangan dan kritikan kepada mana- mana pihak berdasarkan manhaj Islam yang dbawanya.

2. Kalaulah niat Dr Asri ingin menjadi seperti DS Anwar Ibrahim dahulu yang mahu mencuci UMNO dari dalam, maka tak usahlah. Teori itu ternyata gagal. Lihatlah berapa ramai Mufti di Malaysia ini yang mendampingi kerajaan Najib tetapi ternyata tidak mampu untuk berkata walau sekelumit kebenaran. Begitu juga ustaz- ustaz yang masuk ke dalam UMNO. Apa yang mereka lakukan untuk menyedarkan UMNO? Apakah UMNO bertambah menuju Islam atau semakin jauh?

3. Tatkala negara sedang hangat dengan isu judi bola sepak yang dihalalkan oleh UMNO, apakah untungnya Dr Asri menghinakan diri sendiri dengan menyertai UMNO? Masihkah terdapat orang kuat agama tergamak berselimut dengan puak ini?  UMNO tidak pernah komited untuk menegakkan Islam.


4. Kita berharap Dr Asri dapat membuat pertimbangan yang bijak dalam hal ini. Rugilah kalau tokoh ilmuwan seperti Dr Asri menjadi tumpul daya pandangannya kerana terikat dengan politik kepartian.
“Perkembangan itu akan menyemarakkan keyakinan Melayu kepada UMNO, kita akan menuju Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan UMNO yang lebih cemerlang”

5. Kenyataan ini berbaur tidak ikhlas untuk melakukan gerak kerja Islam. Kenapa harus mempergunakan Islam untuk menaikkan nama parti? Bukankah Islam itu lebih utama dan aula dari mana- mana jemaah? Tuan Guru Nik Aziz sentiasa mengingatkan supaya kita menyebut nama Islam lebih dari nama jemaah apabila berbicara tentang Islam.

Allah tahu yang terbaik.

Jumaat, 18 Jun 2010

Ujian Cinta

9 komen pembaca


Cintamu kepada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli. (HR Abu Dawud dan Ahmad)
"Perjuangan kita lebih penting, akhi. Macam mana yang dikatakan pejuang kalau tidak diuji? Ingat firman Allah dalam Surah al- Ankaboot ayat 2: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?""

"Sabar lah Muiz. Cara hang tak betul. Sebab tu Allah tegur. Bersyukurlah Allah masih sayangkan hang. Sebab tu Dia nak tarik hang dari terus hanyut."

"Menangis lah. Kalau tangisan tu air mata penyesalan. Kalau rasa sedih ditinggalkan, pi basuh muka. Buat rugi ja."

"Lepas ni hang cuba tutup hati hang. Cuba cari cinta Allah, lepas tu boleh la cinta manusia tu nak mai. Bila tiba masanya, hang cari la calon."

"Simpan dan ingat selalu. Jangan biaq bersawang. Lepas tu terlupa."

"Kita timba pengalaman dan pengajaran dari perkara lalu.. Dan muhasabah diri kita sebelum tido.. di mana silap kita, di mana kurangnya kita..Allah sayang kan ko, dan dia sedarkan ko dan banyak lagi tanggungjawab dan amanah kita..lebih- lebih masa usia sekarang :)

Tak berapa lama dahulu, saya juga pernah diingatkan oleh seorang kakak senior SBPI Kubang Pasu akan sebuah kisah, harapnya agar saya menjaga diri dari cinta yang melalaikan:

"Pernah pada suatu ketika, seorang wanita solehah jatuh cinta kepada lelaki yang beriman. Walaubagaimanapun, wanita itu takut, takut- takut kalau dia terbuat maksiat. Wanita itu tetap menyebunyikan perasaannya tanpa memberitahu sesiapa. Lalu wanita itu menambahkan amal ibadat dan selalu berdoa kepada Allah taala:

" Ya Allah jika lelaki ini baik untukku maka jodohkanlah aku dengannya. Jika tidak maka jauhilah aku daripadanya."

Tak berapa lama kemudian, lelaki tersebut meminang wanita tersebut... Walaupun tanpa sms, berutus surat dan sebagainya mereka tetap dijodohkan dengan ikatan yang sah."

Jodoh dari Allah Azza Wa Jalla. Allah aturkan jodoh itu, bukan manusia.

Tapi seperti inilah insan, terlupa selalu. Sedangkan dah ada guideline yang jelas. Sangat jelas.

Ujian ni rupanya, nak menyedarkan saya bahawa ilmu di dada masih kurang. Kerana ilmu itu cahaya. Kita mungkin ada banyak maklumat, tapi tidak semestinya ilmu, kerana ilmu itu cahaya.

    "Aku telah mengadu kepada Waki' tentang buruknya hafalanku. Beliau menyuruh aku meninggalkan maksiat. Maka sesungguhnya ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan diberi kepada orang yang melakukan maksiat."
Wahai Tuhan kami, janganlah Kau mengirakan kami tersalah sekiranya kami terlupa atau tersalah. Wahai Tuhan kami, janganlah kau azabkan aku atas kerana ilmu yang aku miliki ini.

Bantulah aku wahai sahabat, aku ingin kembali kepada Islam.

Wallahu'alam.



Isnin, 14 Jun 2010

Asif ya Ustaz, Ma Daliluka?

4 komen pembaca
Kuliah Usul Fiqh pada petang Jumaat lepas ternyata meninggalkan makna yang mendalam pada pemikiran saya tentang Islam.

Walaupun kuliah yang disampaikan Ustaz Ridhwan adalah dalam bahasa Arab kesemuanya, ianya sangat menarik bagi saya.

Apakah sebenarnya matlamat yang ingin dicapai dengan mempelajari Usul Fiqh?

Di sebalik kita mengetahui maksud Usul fiqh dari segi bahasa, lazimnya orang awam mengetahui bahawa Usul Fiqh adalah kaedah Islam yang dikeluarkan untuk memproses hukum Fekah. Tetapi bagi saya, Usul Fiqh sebenarnya telah memaknakan daya fikir kita untuk membebaskan belenggu pemikiran jumud. Pemikiran jumud yang telah menyebabkan umat Islam pada kurun ke- 18 dan 19 jatuh merudum dalam tamadun manusia. Kalau kita ini di zaman penjajahan, maka inti semangat Usul Fiqh akan bertindak sebagai anti- establishment kepada sistem penjajah.

Itulah pengajarannya.


Melayu dan Belenggu Pemikiran.

Dalam masyarakat Melayu, kita telah dibudayakan supaya mengikut saja apa kata ustaz- ustaz kita mengenai persoalan hukum agama. Sekalipun kadangkala perkara tersebut bercanggah dengan logik akal.

Tetapi pernahkan kita bertanya kepada ustaz- ustaz yang mengajar di di masjid, "Asif ya Ustaz, ma daliluka?"(Maaf wahai Ustaz, apakah dalil kamu?)
Umat Islam harus mencari cahaya keluar belenggu pemikiran. Picture by Kenziane at DevianArt

Kita jarang bertanya. Kalaupun bertanya, kita akan ditembak habis- habisan oleh ustaz- ustaz kampung ini, dengan hujah untuk menutup pertanyaan. "Siapa yang banyak bertanya, maka lemahlah imannyaaa...."

Sebab itulah kita tidak kisah walaupun amalan seharian kita sebenarnya banyak bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW.

Waraskah kita tatkala kita bersaksi bahawa "Nabi Muhammad itu pesuruh Allah" dan selepasnya kita membelakangkan sunnah baginda? Sempurnakah akal kita pabila mengaku bahawa Rasulullah itu sebaik- baik ikutan, dan pada masa yang sama, melakukan amalan ibadah yang tidak pernah dilakukan nabi SAW seperti tahlil beramai- ramai, membaca Yasin pada malam nisfu Syaaban dan sebgainya?

Sedangkan Rasulullah SAW bersabda:

" Sesiapa yang beramal bukan dari amalan(ibadah) kami maka ianya tertolak."(HR Muslim)

Melalui hadis ini, ulama' telah mengeluarkan kaedah Usul Fiqh yang berbunyi:

"Asal sesuatu amalan ibadat adalah haram kecuali ada dalil yang membenarkannya."

Nah, mana dalil amalan bid'ah yang diamalkan masyarakat Melayu hari ini?

Sejak dari sekolah menengah lagi saya sudah berasa curiga dengan amalan- amalan yang tidak didasarkan kepada sunnah Baginda SAW. Ia mengingatkan saya kepada Ustaz Suhaimi Sudin yang banyak berjasa dalam membentuk fikrah aku tentang Islam.

Sungguh, pemikiran kita telah terbelenggu dengan doktrin yang memalukan. Untuk membentuk umat Islam yang berkuasa, kita harus keluar dari belenggu pemikiran ini lantas menekankan aspek aqidah sahihah(aqidah yang sahih) dan ibadah salimah(ibadah yang sejahtera) sebagaimana yang telah diajarkan rasulullah kepada para sahabat RA.

Suka saya mengajak kalian mengimbau saat gemilangnya tamadun Islam pada zaman sahabat. Betapa Umar al- Khattab yang terkenal zuhud dan sangat berwaspada terhadap ibadah yang sahih itu sebenarnya menjarah dua per tiga peta dunia.Lihat, pabila kita kembali kepada epistomologi Islam sebenar, di situlah Allah selitkan kejayaan buat umat.


Khatimul: al- Firqatu al- Najah

Mari mengambil pengajaran dari hadis Nabi SAW, :

“Pada akhir zaman, umat Yahudi itu akan terbahagi kepada 71 golongan, satu golongan akan masuk syurga, dan yang lain akan masuk neraka, umat Nasrani (Kristian) akan terbahagi kepada 72 golongan, satu golongan akan ke syurga, yang lain akan ke neraka, umat ISLAM pula akan menjadi 73 golongan, satu golongan akan ke syurga, yang lain semuanya ke neraka. Ketahuilah, golongan yang ke syurga itu ialah golongan yang mengikut jalanku, dan jalan para sahabatku” [HR Bukhari]

Masihkah kita mahu membelakangkan sunnah para Salaf yang dijamin syurga?

Jumaat, 11 Jun 2010

Nafar Menuntut Ilmu

6 komen pembaca
Memulakan langkah untuk hari ini, kesannya akan berkekalan untuk masa depan.

Andai langkah atas pilihan sendiri itu menepati apa yang digariskan. Garisannya tentunya adalah dari al- Quran dan as- Sunnah sendiri.

Hari ini, saya memilih sendiri, atas pilihan bukan paksaan untuk memulakan langkah sebagai pelajar Tamhidi Syariah dan Undang- Undang.

Bukan mudah membawa title sebagai pelajar Syariah. Segala tindak tanduk perlu dijaga supaya agama ini kelihatan mulia. Sungguh, title ini sebenarnya dapat menjaga diri ini dari melakukan kefasiqan dan kemungkaran, jika benar kita ikhlas dalam jalan ini.

Di dalam satu riwayat, Ali bin Abi Talib RA pernah berkata kepada seorang lelaki katanya;

"Ilmu itu lebih baik daripada harta, ilmu menjaga kamu manakala kamu menjaga harta, ilmu merupakan hakim (pengadil) manakala harta yang dihukum. Harta berkurang jika digunakan manakala ilmu berkembang apabila disebarkan."

Bertindaklah dengan ilmu.





Menuntut Ilmu Juga Nafar

وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ ڪَآفَّةً۬‌ۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٍ۬ مِّنۡہُمۡ طَآٮِٕفَةٌ۬ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِى ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡہِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُون

"Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya."[At taubah 9;122]

Falaulaa nafara..


Keluar menuntut ilmu digelar Allah dengan kalimah nafara, iaitu kalimah yang lazimnya hanya terguna pada mengungkapkan soal keluar berjihad perang di jalan Allah. Pemilihan kalimah ini harus kita teladani, bahawa Allah mahu kita melihat proses menuntut ilmu di jalan Allah sebagai suatu medan tempur. Justeru persiapan kaum yang keluar berperang, harus juga menjadi persiapan yang sama buat penuntut ilmu di jalan Allah.

Nafar di USIM


Semalam, Ustaz Ridhwan pensyarah Usul fiqh memaklumkan dalam kuliah bahawa Menteri Pengajian Tinggi telah memberi amaran kepada pengurusan Fakulti Syariah dan Undang- Undang bahawa, Fakulti Syariah dan Undang- Undang USIM akan dihapuskan jika tidak sampai 25% dari pelajar TSU mendaat sekurang- kurangnya Band 4 dalam MUET pada Oktober ini. Hal ini berikutan kerana hanya tiga orang yang mendapat Band 4 pada semester lepas bagi TSU.

Bagi saya, perkara ini tidak harus dipandang ringan. Saya bukan mahu mengajak anda semua berdemonstrasi untuk membantah keputusan ini. Tetapi saya ingin mengajak anda semua memikirkan apakah masa depan ta'alim dan tarbiyah Islam di tanah air ini.

Mahu tidak mahu, inilah sebenarnya nafar bagi pelajar TSU. Berusaha sedaya upaya untuk mendapat sekurang- kurangnya Band 4 dalam MUET.

Kita sedang mengalami krisis kehancuran ummah. Mahukah lagi anda semua melihat ummah terus hancur dengan tutupnya sebuah lagi fakulti deeniah sebagaimana robohnya ISTAC UIAM oleh tangan- tangan durjana suatu masa dulu?

Anda mampu mengubahnya!

Isnin, 7 Jun 2010

Konvoi LL4G, Apa hikmah di Sebalik Ujian?

2 komen pembaca
Assalamu'alaykum.

Maafkan saya kerana sudah lama tidak menulis. Keadaan bagi saya sangat tidak mengizinkan.

Palestin berdarah lagi. Kali ini dengan keadaan yang lebih kurang ajar.

Konvoi kemanusiaan telah diserang apabila melalui perairan antarabangsa. Ada aktivitis yang berada dalam kapal Marvi Marvara yang membawa makanan, ubatan dan sebagainya telah ditembak dengan peluru hidup sewaktu sedang tidur.


Mereka itu semuanya AKTIVIS, bukan TENTERA. Misi Freedom Flotilla bukannya misi KETENTERAAN, tetapi misi KEMANUSIAAN.

Israel tersepit antara dua pilihan. Pertama, membiarkan kapal itu berlalu dengan aman dan bebas. Kedua, menyerang kapal tersebut supaya bantuan tidak sampai. Mereka memilih yang kedua. Memang sudah ada senarai dan gambar aktivis yang disasar untuk dibunuh. Sebab itu, bukan semua yang dibunuh.

Mereka tidak dapat mengisytiharkan perang kali ini. Kalau isytihar juga, Israel sebenarnya akan memerangi 50 buah negara.

Hari ini, dunia menyaksikan. Betapa musuh Israel bukan saja orang Islam, tetapi musuh Israel adalah sesiapa saja yang menentang mereka. Betapa saya tidak faham, masih ada lagikah justifikasi lain yang mahu diberikan kepada Israel ini?

Tindakan kita.

Jangan jadi seperti binatang.


7_179

“Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai” [al-A'raaf 7: 179]

Tinggal kita, ada yang berdemonstasi, ada yang mula memboikot, tak kurang juga yang berterusan berdoa dan solat hajat supaya misi ini selamat semuanya. Hingga ke akhirnya.

“Hero sebenarnya bukan kami. Wira yang sebenar adalah mereka yang berdoa, bersolat hajat dan berusaha untuk keluarkan kami. Kamulah sebenarnya wira-wira itu,” komen ketua biro Palestin Haluan Malaysia, Bro Norazmaan.

Saya sebak mendengar pengakuan ikhlas Bro Noorazman yang bersih dan jernih wajahnya ini.

Semoga dengan kecaman dan bantahan yang dibuat, menjadi saksi di hadapan Allah, bahawa kita adalah manusia, bukan binatang yang tidak punya rasa peduli dan peka.

Awas, jangan sampai umat Islam Palestin menuntut kenapa kita tidak berbuat apa- apa untuk mereka sewaktu di dunia ini pada hadapan Allah kelak!

Palestin: Semalam, Hari Ini dan Esok.

Sampai bila Israel boleh terkalahkan?

Ini persoalan umat. Saya yakin ramai mahu tahu jawapannya

Marilah kita melihat sejarah, bagaimana Khalifah Umar al- Khattab dan Salahuddin Al- Ayubi boleh menakluki Baitulmaqdis?

Zaman itu memiliki kerajaan yang hidup di bawah naungan al- Quran, bersatu, bersih akhlak dan ibadah, pemimpin yang adil, rakyat yang faham dan sentiasa menjunjung hukum Allah sebagai yang terbaik.

Zaman itu ada semua itu. Apa yang ada pada kita hari ini?

Kita punya pemimpin, tetapi pemimpin yang diasuh mengikut telunjuk mereka. Kita punya al- Quran, tetapi dibiarkan usang tanpa ditafaqquh. Kita punya rakyat, tetapi dibiarkan menganut faham hedonisme. Kita punya hukum Allah yang ditetapkan ulama', tetapi semua itu disepak terajang oleh kita.

Kita mencela dan melaknat Israel, bukannya kita akan menang esok. Bukan. Kemenangan ini memerlukan Perang nafas panjang.

Maka saya melihat, jika hendakkan kemenangan, maka mahu atau tidak, itu semua perlu kita dapatkan kembali.
 
Dahulu, negara-negara arab pernah menggerakkan Perang Enam Hari. Mesir, Jordan dan Syria bergabung untuk menewaskan Israel yang sekangkang kera. Tetapi akhirnya, ketiga-tiga negara itu tewas dan akhirnya Israel menjadi tuan mutlak ke atas Palestina.
 
Kenapa mereka tidak menang?

Jawapan saya, mereka tidak memenuhi ciri-ciri kemenangan.

Tidakkah kita mengambil pengajaran?

Sesungguhnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan kita. Tetapi kitalah yang meninggalkan Allah SWT.

Kita marah Israel berlaku biadap, tetapi kenapa biarkan budaya hiburan melampau masuk ke dalam rumah kita melalui televisyen dan sebagainya?
Kita marah Israel berlaku biadap, tetapi kenapa kita berbangga mempromosi gaya hidup Yahudi?

Wallahu a'lam, anda fikirkan sendiri.

p/s: Najib, kalau kerajaan anda ikhlas mengutuk serangan ke atas konvoi ini, sila halau APCO dari Malaysia! Atau jelas gerombolan ditimpa penyakit Nifaq.